Pages

Tuesday, September 21, 2010

SENI BUKAN WARISAN YANG HANYA DITAMPAL-TAMPAL - Kak Gie

ROSLI MANSOR AHMAD RAZALI

Memupuk rasa cinta pada kesenian warisan perlu bermula dari peringkat awal dan bukannya hanya di tampal-tampal sahaja - Fauziah Nawi

Fauziah Nawi atau lebih mesra dipanggil Kak Gie merupakan anak kelahiran Perak juga sebuah nama besar dalam dunia seni tanahair. Penglibatan beliau dalam dunia seni bermula di  zaman kanak-kanaknya telah memberi nafas baru dalam industri seni teater tanah air. Beliau juga merupakan seorang pengarah, pelakon, penyanyi dan penari pernah menjadi juruhebah di RTM dari tahun 1976-1995. Ikuti rentetan temubual bersama aktivis seni  yang telah menjadi ikon kepada industri seni tanah air sehingga kini.
Bilakah Kak Gie melibatkan diri dalam bidang seni ini?
Saya mula menyanyi di sebuah Pekan Ahad, Kg Paloh Ipoh yang merupakan satu-satunya tempat kegiatan kesenian disekitar tahun 1958-1960. Kak Gie menyanyi dengan iringan muzik Arcadian oleh Pakcik Arsad dan yang mengajar saya menari ialah cikgu Mariam Jamaluddin ketika Kak gie baru berumur lapan tahun.
Kak Gie mendapat pendidikan dimana?
Pendidikan awal di sekolah Kebangsaan Pasir Putih, Ipoh. Selepas itu Kak Gie berpindah di sekolah Kebangsaan Sungai Rapat. Pada masa tu Kak Gie tinggal di Kampung Sungai Rokam.
Selepas tu Kak Gie meneruskan pengajian ke Sekolah Raya Perempuan Secondary School  sebab masa tu Kak Gie hendak berlajar Bahasa Inggeris. Selepas tingkatan tiga kami sekeluarga berpindah ke Kuala Lumpur dan menyambung pelajaran  sehingga tingkatan lima. Kak Gie mula berlakon dalam drama TV yang pertama bertajuk Tahan Kinabalu pada usia 19 tahun, Kak Gie berlakon beberapa pelakon hebat.
Adakah Kak Gie lahir dari keluarga seni?
Tidak juga seingat Kak Gie penglibatan Kak Gie dalam bidang seni menjadi serius setelah emak dan bapa Kak Gie mengambil alik kontrak kantin kebudayaan di Taman budaya Jalan Ampang Kuala Lumpur yang kini telah menjadi Hotel Nikko. Dari situ peluang terbuka luas untuk Kak Gie bergiat dalam bidang lakonan teater bersama nama-nama besar seperti Ahmad Yatim, Hafsham dan ramai lagi.
Apa pandangan Kak Gie jika dibandingkan dengan teater dahulu dengan sekarang serta penerimaan masyarakat?
Bagi Kak Gie teater dahulu lebih menyeronokkan kerana kami menjadikan seni itu sebagai satu mata pencarian untuk kami dan didagangkan dengan harga yang mahal.
Sekarang persaingan dan peluang menjadi lebih besar dalam bidang ini setelah lahirnya graduan-graduan seni seterusnya menjuruskan pembaharuan yang ketara dari segi pembikinan teater yang lebih berkualiti.

Darah seni yang mengalir ditubuhnya mampu membuat penonton mengalirkan airmata sewaktu menyaksikan lakonannya sewaktu pementasan Teater Lorong Blues baru-baru ini di Taman Budaya, Ipoh.

Apakah rahsia Kak Gie sehingga ke hari ini yang telah meraih kejayaan seterusnya meletakkan diri Kak Gie ketahap yang disegani terutamanya dalam bidang lakonan teater ini.
Bagi Kak Gie tiada rahsia. Sebaliknya Kak Gie menjadikan seni adalah kehidupan Kak Gie. Seni adalah pilihan Kak Gie sejak kecil lagi. Kak Gie akan harungi semua bentuk cabaran yang mendatang dan tidak pernah berfikir akan kemalapan dunia seni. Kefahaman saya terhadap kesenian ini harus diteruskan dari segi pencarian ilmu yang mengikut peredaran dan kehendak zaman.
Sampai bila harus Kak Gie memperjuangkan dunia kesenian Kak Gie?
Bagi Kak Gie selagi termampu dan selagi Kak Gie diberi kreativiti insya Allah akan diteruskan. Tetapi Kak Gie akan berhenti jika Kak Gie rasa sudah tidak seronok dan sudah  tidak merasakan apa-apa lagi  baru lah Kak Gie memikirkan untuk beredar dari bidang ini.
Bagaimana pula dengan dunia perfileman, apa perkembangan terbaru?
Saya baru lepas mengarahkan satu filem yang diterbitkan oleh Berwang Filem Sdn. Bhd., sebuah filem yang didedikasikan khas untuk Zaiton Sameon dan kini dalam proses penyuntingan. Memang saya selalu hendak menghasilkan filem tapi buat masa ini keupayaan dari segi peruntukannya amat terhad.
Apakah kekuatan yang ada pada diri Kak Gie sehinggakan Kak Gie meletakkan diri Kak Gie sebagai  aktivis teater yang disegani?
Kak Gie tidak merasakan diri Kak Gie tersohor tetapi Kak Gie rasa kekuatan Kak Gie ialah keinginan ataupun kehendak diri sendiri. Sepertimana kenyataan Kak Gie memang cita-cita untuk  menjadi artis sejak zaman kanak-kanak lagi. Seni adalah pilihan Kak Gie dah harus diteruskan. Berusaha dan mencari tanpa ada rasa jemu.
Adakah Kak Gie rasa dunia teater pada zaman ini semakin malap dengan arus kemodenan yang menggelapkan mata  generasi baru. Bagaimana mengatasinya.
Kalau tiada sesiapa mengambil tindakan untuk melakukan sesuatu mempertahankan warisan seni ini tidak mustahil ianya akan berkubur begitu sahaja. Bagi Kak Gie seni harus diperkenalkan kepada generasi muda sejak zaman kanak-kanak kerana ianya akan jadi sebati jika dimulakan diperingkat awal. Sistem pembelajaran di Malaysia harus juga menjuruskan kepada kesenian kerana ianya banyak membantu dalam berbagai sektor serta memperkenalkan negara ke tahap yang lebih tinggi. Lihat sahaja negara besar di Eropah mereka hebat kerana banyak dipengaruhi oleh kesenian dan kebudayaan yang tinggi nilainya. Kesenian harus diwarisi dari kecil dan bukan hanya ditampal-tampal.
Fauziah Nawi anak jati Perak mengabdikan diri sebahagian dari kehidupannya.

0 comments:

Post a Comment