Pages

Thursday, June 23, 2011

IPOH SYURGA MAKANAN DAN WARISAN TERUNGGUL

Rosli Mansor Ahmad Razali

Ipoh- Sejak pelancaran risalah Ipoh Food Trail pada Desember tahun lalu, Bandaraya Ipoh kian menjadi tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara. Jolokkan Ipoh sebagai syurga makanan sejak lama dulu bukanlah satu omong yang kosong jika anda tidak mengalaminya sendiri.

Kesinambungan pelancaran risalah tersebut, Tourism Malaysia kini merialisasikan lagi promosi ini melalui program lawatan pengemaskinian produk Ipoh Food Trail. Program yang berlangsung selama dua hari telah disertai oleh berbagai agensi perlancongan dari seluruh Malaysia, Jurufoto, Media serta kakitangan Torism dari beberapa negeri.

Pengarah Tourism Perak Norshamshida Abdul Rahman berkata program yang dianjurkan bersama oleh Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) membuka peluang yang terbaik untuk kesemua peserta mengenali dengan lebih dekat lagi produk perlancongan yang ada di Bandaraya Ipoh.

“Kami mahu memperluaskan lagi promosi produk makanan sebagai satu tarikan yang istimewa yang ada di sini disamping dapat mengalami sendiri keunikan bangunan warisan yang terdapat di sekitar Bandaraya Ipoh”,katanya.

Diantara program yang menarik dihari pertama peserta dibawa melawat ke Muzium negeri. Aktiviti ’Treasure Hunt’ dijalankan secara berkumpulan dapat menambahkan lagi pengetahuan tentang sejarah yang wujud sejak zaman pemerintahan British lagi.

Restoran Tasik Raban yang popular dengan sajian kampung merupakan destinasi pertama persinggahan kami. Sememangnya keistimewaan restoran ini bukan sahaja popular dengan masakan ala kampung tetapi juga menyediakan berbagai jenis ulaman yang segar.

Gua Tempurung yang berusia  berjuta tahun pastinya menghidangkan keunikan seribu satu rahsia keindahan batu kapur. Manan Idris bertindak sebagai pemandu pelancong seharusnya mendapat pujian kerana penerangannya yang terperinci tentang keindahan dan sejarah Gua Tempurung.

Mee Rebus Ramli sememangnya terkenal sejak 20 tahun menjadi persinggahan minum petang kami. Kami dijuga berpeluang merasai laksa yang tidak kurang hebatnya disamping kesegaran minuman Laichi Kang.
Hotsprings & Spa Lost World of Tambun Lost World Of Tambun merupakan destinasi seterusnya. Peserta berpeluang merehatkan minda dan mengegarkan kelesuan sepanjang hari di kolam air panas semulajadi. Keindahan  rekabentuk lanskap disekitar kolam panas ini cukup memberi ketenangan disamping udara yang segar dari pergunungan. 

Mengakhiri lawatan hari pertama ini kami merasai sendiri kelazatan Restoran Nasi Lemak Ayam Kampung merupakan pengalaman yang cukup menarik. Walaupun peserta kekenyangan namun aroma ayam kampung mampu membuka selera kami. Kami juga dihidangkan bersama jus tembikai segar.
                                                                                                                                              
Bersarapan di Restoran Ipoh Hainan  adalah destinasi pertama memulakan program hari kedua Ipoh Food Trail.

Program Ipoh Heritage Walk  yang bermula di Stesen Keretapi telah disempurnakan dengan kehadiran Exco PerlanconganNegeri Perak, Dato' Hamidah Osman. Rombongan kami yang terbahagi kepada dua kumpulan telah dibawa melihat sendiri keunikan bangunan warisan diantara yang terkenal  ialahLawatan ke Memory Lane, Ipoh Town Hall dan sekitar pekan lama.

Sebelum bertolak ke Kellie’s Castle yang terletak di Batu Gajah, kami berpeluang menikmati resipi nasi ayam di restoranRestoran Nasi Ayam Fuziah. Selepas itu rombongan kami dibawa melawat keunikan bangunan Kellie’s Castle, Batu Gajah. Kami bertolak semula ke Ipoh untuk merasai sendiri kelazatan buah limau bali tambun yang semestinya menjadi persinggahan setiap pelancong.

Destinasi kami berakhir di medan selera Taman Kanak-Kanak bagi menikmati minum petang. Kami diperkenalkan dengan Satey Endut. Satey Endut sangat terkenal lebih dari 30 tahun mengakhiri perjalanan program Ipoh Food Trail dengan meninggalkan seribu satu kenangan yang tidak dapat dilupakan.

Ternyata dua hari bukanlah waktu yang mencukupi untuk menikmati keunikan Bandaraya Ipoh. Masih banyak lagi yang harus dirasai dan dialami sendiri kerana Bandaraya Ipoh adalah peninggalan warisan yang terlalu tinggi nilainya.

Tuesday, January 18, 2011

MAMAT KHALID SUTRADARA YANG TELUS

MAMAT KHALID SUTRADARA YANG TELUS- Raih kejayaan atas kenyakinan diri sendiri.
Rosli Mansor Ahmad Razali

Mamat Khalid atau mana sebenarnya Mohamad Bin Mohd Khalid, 47, bukan asing lagi dalam dunia seni  terutamanya dibidang perfileman tanahair. Kelebihan bakat seni yang mengalir ditubuh anak jati Perak ini sangat mengkagumkan kerana kejayaannya hari mampu meletakkan dirinya sebaris dengan ikon sutradara filem tempatan tersohor hari ini.
Berbekal dengan keyakinan dan kesabaran beliau berjaya membuktikan walaupun tanpa ilmu yang mendalam dalam bidang perfileman beliau berjaya menjadikan pengalaman sebagai satu landasan untuk beliau bersaing walaupun adakalanya menemui jalan buntu.
Kini beliau berjaya menghasilkan tujuh buah filem drama komidi antaranya yang terkini filem Hantu Kak Limah Balik Rumah telah mendapat sambutan diluar dugaan. Panggung wayang di seluruh tanahair penuh sesak dan jumlah kutipan yang kini melebihi  jutaan ringgit.
Kita soroti kegigihan dan pemikiran Mamat Khalid juga merupakan adik kepada Kartunis tersohor iaitu Datuk Lat terhadap pengibatan beliau dalam dunia perfileman tempatan yang banyak mencerminkan  jiwa sebenar masyarakat melayu  melalui karya-karyanya.
Soalan: Sejak bila anda melibatkan diri secara serius dalam dunia perfileman?
Jawapan: Filem adalah jiwa saya sejak dari kecil. Saya sangat meminati filem dan bercita-cita menghasilkan filem sendiri.  Saya berpendidikan setakat tingkatan enam sahaja. Selepas itu saya berkhidmat sebagai kaki tangan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) sebagai pemain muzik. Selepas itu saya mula mengorak langkah ke bidang penerbitan rancangan televisyen.  Antara karya terawal dan mendapat sambutan  ialah  Pinang Sebatang, Rombongan Cik Kiah ke Sukan Komenwel dan Abang We. Selepas memenangi anugerah Pengarah Terbaik di Anugerah Skrin Panca Delima 2001 untuk telefilem Pinang Durian telah menjadi inspirasi untuk saya terus serius dalam bidang ini.
Soalan: Apakah yang anda cuba sampaikan kepada penonton dalam karya-karya anda?
Jawapan: Bagi  saya filem seharusnya mampu  bercakap dan berlaku adil untuk semua pihak jika anda amati dan halusi terdapat banyak sindiran-sindiran yang sinis melalui watak-watak  serta dialoq-dialoq. Saya tidak mahu filem saya hanya  filem berunsur komidi yang kosong tanpa memberi sebarang persoalan dan pesanan. Objektif saya bukan sahaja mahu menghiburkan orang tetapi memberikan kesedaran akan tradisi kehidupan kelompok masyarakat terutamanya masyarakat melayu terutamanya dari segi budaya dan amalan.
Soalan: Kenapa filem-filem yang anda hasilkan banyak menggunakan loghat Perak?
Jawapan: Saya merasakan satu keunikan dalam loghat Perak. Saya sendiri dari kelompok masyarakat Melayu Perak. Keistimewaan orang Perak ialah mudah mesra dan suka bergurau. Saya meneliti penggunaan bahasa yang begitu unik yang selalu digunakan dan ianya amat berbeza serta sangat menarik berbanding bahasa loghat negeri-negeri lain.
Soalan: Melalui filem anda menyalurkan kritikan berlandaskan budaya dan tamadun berbagai bangsa. Apakah ini menyentuh sensitiviti moral masyarakat?
Jawapan: Saya rasa tidak, ini adalah kerana keseluruhan adengan yang saya arahkan berkisar kepada kehidupan realiti  masyarakat itu sendiri. Saya yakin sesuatu yang realiti akan lebih natural unsur-unsur humor dan pastinya akan menjadi klasik dan akan menjadi perbualan di luar panggung.
Soalan: Bagaimana anda mengenengahkan elemen komidi yang boleh diterima umum dan menjadi klasik?
Jawapan: Saya mahu menghidangkan kelainan pada elemen komidi dalam filem saya iaitu sesuatu kejadian yang tidak disangka-sangka yang boleh menimbulkan kelucuan secara spontan walaupun kadang-kadang ianya tidak di anggap logik. Apa yang saya lihat kebanyakan penonton mahukan unsur-unsur lawak yang secara terus iaitu mereka boleh mengagak kejadian seterusnya. Inilah kelainan elemen komidi dalam filem saya. Saya bersyukur banyak diantara karya saya menjadi klasik kerana ianya natural dan digarap dengan dramatik.
Soalan : Filem Estet gagal meraih filem terbaik pada festival filem yang lepas, apa komen anda?
Jawapan: Saya tidak menaruh harapan dalam pesta filem yang lepas, cuma semua orang tahu filem Estet merupakan salah satu medium perpaduan antara semua kaum, saya meminjam wang untuk membagunkan filem itu.  Semasa pesta filem yang lepas filem ini seperti ada yang terlepas pandang apa yang saya telah sampaikan melalui filem ini. Bukan bermakna filem estet perlu menang tapi saya merasa Estet diketepikan langsung. Adakah ianya diantara sebab peribadi. Inilah soalan yang bermain difikiran saya.
Soalan: Benarkah penerimaan masyarakat lebih kepada filem luar negara, kenapa?
Jawapan: Tidak masyarakat mempunyai pilihan mereka sendiri. Bagi saya sebagai pengarah kita kena tahu apakah kehendak masyarakat dan tahu siapakah tumpuan penonton filem yang akan kita hasilkan. Filem yang diterima oleh masyarakat bukan bergantung kepada kualiti tetapi  mempunyai citarasa  mereka tersendiri.
Soalan: Apa masalah yang dihadapi dalam perfileman tempatan?
Jawapan: Pada saya tiada masalah yang dihadapi, cuma masalah pungutan wang sebanyak 50 peratus terpaksa dilepaskan kepada pihak panggung sejak 20 tahun sehinggalah sekarang ditambahi lagi dengan  cukai  rebet.
Soalan: Sekarang anda mengarahkan sebuah filem yang serius iaitu filem Apokalips. Apakah ini satu pendekatan yang baru untuk anda selepas terhasilnya tujuh filem bercorak komidi?
Jawapan: Filem ini merupakan sebuah filem yang serius. Tumpuan utama saya ialah untuk golongan remaja 15 ke 25 tahun. Memang saya menghasilkan filem Apokalips ini untuk golongan remaja akan tetapi saya tidak sekali-kali lupa pada peminat-peminat setia­ filem komidi saya. Apokalips ini merupakan satu pendekatan yang baru. Kemungkinan akan ditayangkan disekitar bulan Jun tahun hadapan.
Soalan: Bagaimana nasib perfileman tanah air pada masa hadapan?
Jawapan: Sekarang ini industi perfileman tempatan semakin berkembang,  permasalahan yang timbul kemungkinan besar penerbit filem akan terhenti menghasilkan filem jika tidang dibendung dengan cepat. Kita lihat dari segi perkongsian 50% dari pihak panggung wayang kita merasakan jurang pulangannya amat ketara besarnya.  Jika ianya berlarutan  kemungkinan 10 tahun filem yang diterbit mungkin sekadar filem hiburan yang ringan sahaja.
Soalan: Apakah langkah seterusnya dalam penghasilan filem pada masa hadapan?
Jawapan: Memang filem komidi saya sudah sinonim dengan masyarakat, tetapi dalam jiwa saya telah mula ingin menghasilkan filem-filem yang berunsur epik iaitu tentang sejarah melayu, perjuangan melayu,asal usul raja dan bermacam-macam lagi. Apapun ianya satu perancangan yang memerlukan masa untuk dilaksanakan.

Wednesday, November 3, 2010

JURULATIH KECERGASAN PIKUL TANGGUNGJAWAB BESAR

Rosli Mansor Ahmad Razali
Membina perwatakan, disiplin dan ketangkasan berfikir bagi setiap individu  merupakan tanggungjawab serta amanah yang besar.  Berhadapan dengan seribu satu ragam manusia memerlukan ketahanan minda yang tinggi serta kesabaran yang tiada batasannya.

Tugas dan tanggungjawab Jurulatih Kecergasan ialah memberi tunjuk ajar  selain itu mempersiapkan jadual diet seharian dalam menentukan keseimbangan permakanan juga pengambilan keperluan kalori.
Jurulatih Kecergasan Persendirian, Mohd Yusni Mohd Yusof,43, berkata Jurulatih Kecergasan perlu berdamping rapat dengan  anak didiknya dan mendalami serta cara hidup yang diamalkan.
“Kesabaran saya adakalanya tercabar juga jika bertemu dengan anak didik yang sukar mengikut arahan yang dberikan. Hakikat pada asalnya mereka inginkan bentuk badan yang diidamkan tetapi mereka masih lagi gagal merubah cara hidup mereka.
Menjadi Jurulatih kecergasan kami harus memperlengkapkan diri dengan ilmu motivasi yang tinggi. Kita harus selalu berfikiran positif dan sabar memberi latihan kepada mereka”. Katanya.
Menurut Mohd Yusni mengekalkan kesihatan amat penting terutama kepada yang lewat 30an kerana dalam usia sebegini adalah lebih baik mempunyai jurulatih persendirian kerana setiap gerak geri latihan dan pemakanan akan terkawal dengan sempurna. Mempunyai jurulatih kecergasan secara peribadi satu kelebihan dan impian untuk kekal sihat dan mempunyai keterampilan yag menarik akan menjadi kenyataan.
Pengurus Pusat Kecergasan VS Gym, Yusni Mohd Darus, 41, berkerjaya sebagai Jurulatih Kecergasan sejak 15 tahun yang lalu sudah cukup memberikannya kepuasan apabila melihat  anak buahnya keluar dari pusat kecergasan mempunyai keyakinan dan keterampilan yang diimpikan.

“Saya melihat kerjaya sebagai Jurulatih Kecergasan ini satu tugas yang murni kerana kita boleh membantu mereka yang kurang berkeyakin tentang keterampilan diri.
Hampir seratus peratus mereka yang datang ke sini keluar dengan kepuasan dan mendapat balik imbalan wang yang dilaburkan. Bagi saya wang bukan ukuran jika dinilaikan dengan kesihatan yang dianugerahkan oleh Allah kepada kita. Tugas kita ialah harus mengekalkannya”, katanya.
Menurut Yusni yang telah hampir empat tahun berkhidmat bersama Vs Gym iaitu sebuah pusat kecergasan yang terkenal di Perak ini mengkhususkan latihan kepada wanita seperti latihan senam robik, penasihat makanan dan kesihatan.
Semenjak Yusni bergiat cergas dalam bidan kecergasan ini, beliau sehingga ke hari ini menjadi rebutan golongan wanita-wanita koprat untuk menjadikannya sebagai jurulatih peribadi yang memberi khidmat dari rumah ke rumah.
“Memang saya akui tugas ini memang mencabar tapi alhamdulillah  semuanya yang saya didik membuahkan hasil yang membanggakan.

Bidang ini memerlukan kesabaran yang tinggi kerana kita berhadapan dengan berbagai golongan. Kita banyak memfokuskan kepada sesi  latihan yang betul, motivasi dan cara pemakanan yang sihat”,katanya.
Chow Fook Ming,27, seorang jejaka Tionghua yang berasal dari Ipoh mempunyai misinya tersendiri semenjak  enam bulan berkhidmat sebagai  Jurulatih Kecergasan .
“Saya  mempunyai  matlamat tersendiri dalam bidang ini selain dari minat yang mendalam. Misi saya ingin melihat sesiapa saja dibawah pengawalan saya, saya mahu mereka tersenyum gembira apabila keluar dari pusat kecergasan ini.
“Saya dikhusushan memberi latihan  dalam bidang bina badan yang dipecahkan dalam beberapa ketegori iaitu latihan untuk bina badan secara serius dan basic, bina badan untuk bentuk model dan untuk sekadar latihan kecergasan minda dan tubuh badan”, katanya.
Haizat Noor Azli,20, menceburi bidang jurulatih kesergasan ini bermula dari hobi dan akhirnya menjadi satu kerjaya yang menarik.
“Dalam usia semuda ini kedangkala saya mengalami kesukaran berhadapan dengan golongan yang lebih senior dalam memberi latihan. Tetapi setakat ini semuanya telah diatasi dengan bantuan jurulatih senior yang ada”, katanya.
Bagi Jurulatih RPM, Mohd Zahari Nas,30, tanggungjawab menerajui  sesi latihan RPM harus dilakukan dengan sebaik mungkin.  Beliau merasakan inilah satu-satunya latihan yang dapat mengurangkan berat badan dengan cepat.

“Saya sangat gembira menjadi  Jurulatih Kecergasan  bukan sahaja untuk kesihatan orang lain malah pada diri kita sendiri. Kesedaran terletak kepada diri kita sendiri jika kita rasa susah menerajui maka semuanya akan jadi  susah. Kita harus sentiasa positif dalam segala hal”,katanya.

CIPTA KERJAYA DIBIDANG FOTOGRAFI – ed remaja berbakat besar sedia hadapi cabaran

ROSLI MANSOR AHMAD RAZALI
“Setiap detik adalah memori dan ianya perlu hidup selamanya” ... begitulah ungkapan Mohammad Shahir Noor Din seorang remaja yang berbakat besar dan optimistik dalam mengejar impiannya untuk berjaya dalam bidang seni photografi seterusnya  meletakkan dirinya setanding dengan ikon jurufoto profesional.
Walaupun usianya  baru mencecah dua puluhan, kredibiliti dan bakatnya sebagai seorang  jurufoto kian menyerlah apabila melihat hasil kerjanya di lokasi pengambaran semakin diperakui ramai. Seolah-olah sentuhan  lensa kameranya setanding dengan sentuhan jurufoto  profesional  luar negara  John Macnally  yang menjadi idolanya dalam dunia fotografi.
Ed, melihat masa depan dalam dunia fotografi begitu cerah, berbekalkan kemahiran dan pengalaman pasti memberi kepuasan kepada semua

Mohammad Shahir  begitu mesra dengan panggilan Ed seorang pelajar semester akhir  Kolej Poly-Tech Mara cawangan Ipoh, Perak (KTPM) dalam jurusan Multimedia.
Setiap hasil karya kreativiti seninya  tercatat ‘Edphotography’  merupakan sebuah nama yang semakin mendapat tempat untuk jemputan  majlis-majlis formal dan individu di sekitar Perak.
Ikuti temubual khas bersama remaja betubuh kecil yang berkarisma tinggi dalam menentukan kerjaya dan hala tujunya dalam bidang seni  fotografi.
SH- Kenapa Ed begitu memilih bidang fotografi ini. Bagaimana minat ini timbul?
ED- Sebelum saya melanjutkan pelajaran saya di KPTM, minat terhadap seni photografi  bermula setelah saya dihadiahkan oleh bapa saya dengan sebuah kamera compax. Saya rasa satu kepuasan yang tidak dapat digambarkan apabila saya melihat orang disekeliling saya gembira dengan gambar-gambar yang saya rakamkan.
SH- Kenapa Ed memilih bidang Multimedia.
ED- Saya sentiasa melihat perkembangan teknologi  selaras dengan arus globalisasi masa kini, keseluruhannya dipengaruhi dalam bidang Teknologi Multimedia.  Bidang ini memberi imbalan yang besar dan menjanjikan  satu kerjaya yang profesional.

SH- Ed telah mengetahui kecenderungan Ed dibidang fotografi. Apakah Ed bersedia bersaing dengan juruphoto profesional  diluar sana.
Ed- Alhamdulillah saya telah bertemu bidang saya kerana minat yang mendalam. Saya sentiasa bersedia dalam apa juga keadaan untuk bersaing dengan jurufoto diluar sana dan terus menajamkan kemahiran saya dengan  membuat rujukan dan berkongsi ideal dari senior-senior yang ada, mereka banyak memberi pendedahan dan membantu saya.
SH- Apakah jenis camera yang digunakan dilokasi pengambaran.
Ed- Saya menggunakan beberapa buah camera Digital SLR iaitu Nikon D60, D90, D200 dan Canon 5D. Buat masa ini alhamdulillah hasil kerja saya memberi kepuasan kepada semua.
SH- Setakat ini apa pengalaman Ed dalam bidang ini?
Ed- Saya menerima tempahan sebagai jurufoto untuk sesi indoor dan outdoor modeling,  porfolio testimoni syarikat, pengiklanan dan majlis perkhawinan.  Saya juga sering berkumpul sesama jurufoto tempatan untuk mengadakan sessi latihan dan dari situ pengalaman saya bertambah.
SH- Apakah keistimewaan hasil sentuhan kreativiti Ed dalam menghasilkan gambar yang terbaik jika dibanding dengan hasil kerja jurufoto yang lain?
Ed- Setakat ini semua yang memberi kepercayaan kepada saya, mereka begitu berpuashati dan gembira kerana saya mengekalkan keaslian warna-warna imej  tanpa memanipulasikannya secara berlebihan melalui perisian photoshop. Saya sentiasa memastikan kepuasan pada diri saya dengan hasil yang terbaik dahulu sebelum diserahkan kepada mereka. Itulah keistimewaan saya.

 SH- Apakah impian Ed dalam bidang ini selepas pengajian tidak lama lagi?
Ed- Ed telah memantapkan minda Ed untuk bersedia bersaing dengan dunia luar. Tiada apa yang mustahil jika kita mahu berjaya. Ed mahu satu hari nanti Ed mampu melangkah jauh dan meletak diri Ed setanding dengan jurufoto profesional. Ed mahu  merialisasikan “edphotography “ sebagai satu syarikat  sendiri yang terkenal dengan mempunyai peralatan dan studio yang  canggih. Insya-Allah.
SH- Apakah Ed bersedia sepenuhnya menerima undangan di majlis yang besar?
Ed- Jika Ed diberi kepercayaan, insya-Allah tidak akan mengeciwakan. Lawatilah laman blog http://edbudakkechik.blogspot.com/ untuk melihat lebih dekat hasil kerja saya. Berkongsilah detik indah bersama saya 019 4549 650 atau 017 5448 466. Walaupun saya masih baru dibidang ini tetapi pastinya yang terbaik untuk semua.

Thursday, September 30, 2010

IQWAL diiktirafkan sebagai "VOKAL TERBAIK DUNIA"


Anak jati PERAK yang buat persembahan di malam 1 Malaysia,persembahan yang memukau!! IQWAL diiktirafkan sebagai "VOKAL TERBAIK DUNIA" dalam pertandingan World Championship of Performing Arts Ogos 2008. THE BEST INTERNATIONAL ARTISTE-di Kodak Theatre, Hollywood. Keistimewaan boleh menyampaikan 14 jenis bahasa...bakat beliau sangat istimewa!!!

Tuesday, September 21, 2010

BERTEMU SELEPAS 25 TAHUN TERPISAH - Majlis Alumni Aidil Fitri Membawa Seribu Makna


BERTEMU SELEPAS  25 TAHUN TERPISAH- Majlis Alumni Aidil Fitri Membawa Seribu Makna
Rosli Mansor Ahamad Razali
Lebaran Aidil Fitri 2010 telah memberi seribu makna dan memori  dalam hati dan sanubari  kepada lebih kurang 30 orang bekas pelajar Sekolah Kuala Dipang (SKKD) tahun 1970-1982.

Dari kiri, Syed Azlan, Suhaimi, Kamarulzaman Dan Mohd Hadzri masing-masing tersenyum teringatkan zaman persekolahan.

Dari kiri baju hijau, Mohd Yazri bersama anak-anak dan rakan-rakan sekolah rendah pada tahun 1977-1982.
Inilah diantara bekas pelajar-pelajar SKKD yang kini bertemu setelah lebih 25 tahun berpisah. Bergurau sambil menunjukkan semangat 1 Malaysia.
Bergambar kenangan bekas pelajar SKKD dihadapan bangunan sekolah darjah satu tahun 1977 yang kini menjadi bagunan sekolah agama rakyat.
Kini Monalisa bersama Norhaizat antara bekas pelajar perempuan yang hadir pada majlis alumni SKKD pada tiga hariraya yang lalu
Alumni yang pertama kali diadakan pada hari raya ke tiga yang lalu memberi seribu makna dalam mengimbau semula nostalgia diawal zaman persekolahan.
Tiga dari kiri- Pengerusi Alumni SKKD Mohd Zaid bergambar bersama sahabat-sahabat yang lama terpisah
Pengerusi  Alumni SKKD Mohd Zaid Zulkifli berkata kesemua bekas pelajar-pelajar SKKD tahun 1977-1982 telah dapat dikesan melalui laman Alumni di Facebook dan ini telah menimbulkan minatnya untuk menemukan semula semua bekas pelajar-pelajar SKKD.
Ani merasakan aidil fitri kali ini sungguh bermakna kerana dapat bertemu kenalan sekolan yang sekian lama terpisah.
Bergambar kenangan bekas pelajar SKKD dihadapan bangunan sekolah darjah satu tahun 1977 yang kini menajdi bagunan sekolah agama rakyat.

"Saya berasa amat terharu akan sembutan yang diberikan oleh kesemua rakan-rakan dimana mereka sendiripun begitu teruja untuk bertemu dan bermesra kembali.
Bangunan inilah  yang menjadi tempat permulaan semua bekas pelajar-pelajar SKKD 1977-1982 mendaftar darjah satu. Disini jugalah alumini dilangsungkan.

Ada sesetengah antara kami  lebih 25 tahun sudah terpisah selepas zaman persekolahan. Pertemuan ini sungguh mengharukan kami dan kami sangat bersyukur pada Allah kerana dipertemukan semula", katanya.
Menurutnya sesuatu yang paling menarik tentang alumni  ini ialah ianya diadakan di bangunan sekolah rendah lama  sewaktu pendaftaran darjah satu pada tahun 1977 dan kini sekolah ini dijadikan sebagai sekolah agama rakyat.
Kiri Ahmad Faizal dan Omar Hayan sentias menjadi bahan gurauan kerana bentuk fizikal mereka yang berubah selepas lebih 25 tahun terpisah.
 "Disamping kami mengeratkan kembali  silaturahim kami juga mengumpulkan wang sebagai sumbangan dana  kepada pihak sekolah agama rakyat.

Sangat bermakna dan teruja kerana dapat berkumpul kembali dengan penuh kesyukuran. Barisan bekas pelajar SKKD  lelaki

Masih ada lagi yang membujang. Kiri Rosli dan Omar tersenyum dengan gurauan rakan-rakan.
Walaupun kami gembira pada pertemuan ini, hati kami juga merasa sedih kerana beberapa kawan kami telah kembali ke rahmatullah. Namun kenangan tetap segar diingatan, Al Fatihah untuk mereka, ameen",katanya.

SENI BUKAN WARISAN YANG HANYA DITAMPAL-TAMPAL - Kak Gie

ROSLI MANSOR AHMAD RAZALI

Memupuk rasa cinta pada kesenian warisan perlu bermula dari peringkat awal dan bukannya hanya di tampal-tampal sahaja - Fauziah Nawi

Fauziah Nawi atau lebih mesra dipanggil Kak Gie merupakan anak kelahiran Perak juga sebuah nama besar dalam dunia seni tanahair. Penglibatan beliau dalam dunia seni bermula di  zaman kanak-kanaknya telah memberi nafas baru dalam industri seni teater tanah air. Beliau juga merupakan seorang pengarah, pelakon, penyanyi dan penari pernah menjadi juruhebah di RTM dari tahun 1976-1995. Ikuti rentetan temubual bersama aktivis seni  yang telah menjadi ikon kepada industri seni tanah air sehingga kini.
Bilakah Kak Gie melibatkan diri dalam bidang seni ini?
Saya mula menyanyi di sebuah Pekan Ahad, Kg Paloh Ipoh yang merupakan satu-satunya tempat kegiatan kesenian disekitar tahun 1958-1960. Kak Gie menyanyi dengan iringan muzik Arcadian oleh Pakcik Arsad dan yang mengajar saya menari ialah cikgu Mariam Jamaluddin ketika Kak gie baru berumur lapan tahun.
Kak Gie mendapat pendidikan dimana?
Pendidikan awal di sekolah Kebangsaan Pasir Putih, Ipoh. Selepas itu Kak Gie berpindah di sekolah Kebangsaan Sungai Rapat. Pada masa tu Kak Gie tinggal di Kampung Sungai Rokam.
Selepas tu Kak Gie meneruskan pengajian ke Sekolah Raya Perempuan Secondary School  sebab masa tu Kak Gie hendak berlajar Bahasa Inggeris. Selepas tingkatan tiga kami sekeluarga berpindah ke Kuala Lumpur dan menyambung pelajaran  sehingga tingkatan lima. Kak Gie mula berlakon dalam drama TV yang pertama bertajuk Tahan Kinabalu pada usia 19 tahun, Kak Gie berlakon beberapa pelakon hebat.
Adakah Kak Gie lahir dari keluarga seni?
Tidak juga seingat Kak Gie penglibatan Kak Gie dalam bidang seni menjadi serius setelah emak dan bapa Kak Gie mengambil alik kontrak kantin kebudayaan di Taman budaya Jalan Ampang Kuala Lumpur yang kini telah menjadi Hotel Nikko. Dari situ peluang terbuka luas untuk Kak Gie bergiat dalam bidang lakonan teater bersama nama-nama besar seperti Ahmad Yatim, Hafsham dan ramai lagi.
Apa pandangan Kak Gie jika dibandingkan dengan teater dahulu dengan sekarang serta penerimaan masyarakat?
Bagi Kak Gie teater dahulu lebih menyeronokkan kerana kami menjadikan seni itu sebagai satu mata pencarian untuk kami dan didagangkan dengan harga yang mahal.
Sekarang persaingan dan peluang menjadi lebih besar dalam bidang ini setelah lahirnya graduan-graduan seni seterusnya menjuruskan pembaharuan yang ketara dari segi pembikinan teater yang lebih berkualiti.

Darah seni yang mengalir ditubuhnya mampu membuat penonton mengalirkan airmata sewaktu menyaksikan lakonannya sewaktu pementasan Teater Lorong Blues baru-baru ini di Taman Budaya, Ipoh.

Apakah rahsia Kak Gie sehingga ke hari ini yang telah meraih kejayaan seterusnya meletakkan diri Kak Gie ketahap yang disegani terutamanya dalam bidang lakonan teater ini.
Bagi Kak Gie tiada rahsia. Sebaliknya Kak Gie menjadikan seni adalah kehidupan Kak Gie. Seni adalah pilihan Kak Gie sejak kecil lagi. Kak Gie akan harungi semua bentuk cabaran yang mendatang dan tidak pernah berfikir akan kemalapan dunia seni. Kefahaman saya terhadap kesenian ini harus diteruskan dari segi pencarian ilmu yang mengikut peredaran dan kehendak zaman.
Sampai bila harus Kak Gie memperjuangkan dunia kesenian Kak Gie?
Bagi Kak Gie selagi termampu dan selagi Kak Gie diberi kreativiti insya Allah akan diteruskan. Tetapi Kak Gie akan berhenti jika Kak Gie rasa sudah tidak seronok dan sudah  tidak merasakan apa-apa lagi  baru lah Kak Gie memikirkan untuk beredar dari bidang ini.
Bagaimana pula dengan dunia perfileman, apa perkembangan terbaru?
Saya baru lepas mengarahkan satu filem yang diterbitkan oleh Berwang Filem Sdn. Bhd., sebuah filem yang didedikasikan khas untuk Zaiton Sameon dan kini dalam proses penyuntingan. Memang saya selalu hendak menghasilkan filem tapi buat masa ini keupayaan dari segi peruntukannya amat terhad.
Apakah kekuatan yang ada pada diri Kak Gie sehinggakan Kak Gie meletakkan diri Kak Gie sebagai  aktivis teater yang disegani?
Kak Gie tidak merasakan diri Kak Gie tersohor tetapi Kak Gie rasa kekuatan Kak Gie ialah keinginan ataupun kehendak diri sendiri. Sepertimana kenyataan Kak Gie memang cita-cita untuk  menjadi artis sejak zaman kanak-kanak lagi. Seni adalah pilihan Kak Gie dah harus diteruskan. Berusaha dan mencari tanpa ada rasa jemu.
Adakah Kak Gie rasa dunia teater pada zaman ini semakin malap dengan arus kemodenan yang menggelapkan mata  generasi baru. Bagaimana mengatasinya.
Kalau tiada sesiapa mengambil tindakan untuk melakukan sesuatu mempertahankan warisan seni ini tidak mustahil ianya akan berkubur begitu sahaja. Bagi Kak Gie seni harus diperkenalkan kepada generasi muda sejak zaman kanak-kanak kerana ianya akan jadi sebati jika dimulakan diperingkat awal. Sistem pembelajaran di Malaysia harus juga menjuruskan kepada kesenian kerana ianya banyak membantu dalam berbagai sektor serta memperkenalkan negara ke tahap yang lebih tinggi. Lihat sahaja negara besar di Eropah mereka hebat kerana banyak dipengaruhi oleh kesenian dan kebudayaan yang tinggi nilainya. Kesenian harus diwarisi dari kecil dan bukan hanya ditampal-tampal.
Fauziah Nawi anak jati Perak mengabdikan diri sebahagian dari kehidupannya.