Pages

Wednesday, November 3, 2010

JURULATIH KECERGASAN PIKUL TANGGUNGJAWAB BESAR

Rosli Mansor Ahmad Razali
Membina perwatakan, disiplin dan ketangkasan berfikir bagi setiap individu  merupakan tanggungjawab serta amanah yang besar.  Berhadapan dengan seribu satu ragam manusia memerlukan ketahanan minda yang tinggi serta kesabaran yang tiada batasannya.

Tugas dan tanggungjawab Jurulatih Kecergasan ialah memberi tunjuk ajar  selain itu mempersiapkan jadual diet seharian dalam menentukan keseimbangan permakanan juga pengambilan keperluan kalori.
Jurulatih Kecergasan Persendirian, Mohd Yusni Mohd Yusof,43, berkata Jurulatih Kecergasan perlu berdamping rapat dengan  anak didiknya dan mendalami serta cara hidup yang diamalkan.
“Kesabaran saya adakalanya tercabar juga jika bertemu dengan anak didik yang sukar mengikut arahan yang dberikan. Hakikat pada asalnya mereka inginkan bentuk badan yang diidamkan tetapi mereka masih lagi gagal merubah cara hidup mereka.
Menjadi Jurulatih kecergasan kami harus memperlengkapkan diri dengan ilmu motivasi yang tinggi. Kita harus selalu berfikiran positif dan sabar memberi latihan kepada mereka”. Katanya.
Menurut Mohd Yusni mengekalkan kesihatan amat penting terutama kepada yang lewat 30an kerana dalam usia sebegini adalah lebih baik mempunyai jurulatih persendirian kerana setiap gerak geri latihan dan pemakanan akan terkawal dengan sempurna. Mempunyai jurulatih kecergasan secara peribadi satu kelebihan dan impian untuk kekal sihat dan mempunyai keterampilan yag menarik akan menjadi kenyataan.
Pengurus Pusat Kecergasan VS Gym, Yusni Mohd Darus, 41, berkerjaya sebagai Jurulatih Kecergasan sejak 15 tahun yang lalu sudah cukup memberikannya kepuasan apabila melihat  anak buahnya keluar dari pusat kecergasan mempunyai keyakinan dan keterampilan yang diimpikan.

“Saya melihat kerjaya sebagai Jurulatih Kecergasan ini satu tugas yang murni kerana kita boleh membantu mereka yang kurang berkeyakin tentang keterampilan diri.
Hampir seratus peratus mereka yang datang ke sini keluar dengan kepuasan dan mendapat balik imbalan wang yang dilaburkan. Bagi saya wang bukan ukuran jika dinilaikan dengan kesihatan yang dianugerahkan oleh Allah kepada kita. Tugas kita ialah harus mengekalkannya”, katanya.
Menurut Yusni yang telah hampir empat tahun berkhidmat bersama Vs Gym iaitu sebuah pusat kecergasan yang terkenal di Perak ini mengkhususkan latihan kepada wanita seperti latihan senam robik, penasihat makanan dan kesihatan.
Semenjak Yusni bergiat cergas dalam bidan kecergasan ini, beliau sehingga ke hari ini menjadi rebutan golongan wanita-wanita koprat untuk menjadikannya sebagai jurulatih peribadi yang memberi khidmat dari rumah ke rumah.
“Memang saya akui tugas ini memang mencabar tapi alhamdulillah  semuanya yang saya didik membuahkan hasil yang membanggakan.

Bidang ini memerlukan kesabaran yang tinggi kerana kita berhadapan dengan berbagai golongan. Kita banyak memfokuskan kepada sesi  latihan yang betul, motivasi dan cara pemakanan yang sihat”,katanya.
Chow Fook Ming,27, seorang jejaka Tionghua yang berasal dari Ipoh mempunyai misinya tersendiri semenjak  enam bulan berkhidmat sebagai  Jurulatih Kecergasan .
“Saya  mempunyai  matlamat tersendiri dalam bidang ini selain dari minat yang mendalam. Misi saya ingin melihat sesiapa saja dibawah pengawalan saya, saya mahu mereka tersenyum gembira apabila keluar dari pusat kecergasan ini.
“Saya dikhusushan memberi latihan  dalam bidang bina badan yang dipecahkan dalam beberapa ketegori iaitu latihan untuk bina badan secara serius dan basic, bina badan untuk bentuk model dan untuk sekadar latihan kecergasan minda dan tubuh badan”, katanya.
Haizat Noor Azli,20, menceburi bidang jurulatih kesergasan ini bermula dari hobi dan akhirnya menjadi satu kerjaya yang menarik.
“Dalam usia semuda ini kedangkala saya mengalami kesukaran berhadapan dengan golongan yang lebih senior dalam memberi latihan. Tetapi setakat ini semuanya telah diatasi dengan bantuan jurulatih senior yang ada”, katanya.
Bagi Jurulatih RPM, Mohd Zahari Nas,30, tanggungjawab menerajui  sesi latihan RPM harus dilakukan dengan sebaik mungkin.  Beliau merasakan inilah satu-satunya latihan yang dapat mengurangkan berat badan dengan cepat.

“Saya sangat gembira menjadi  Jurulatih Kecergasan  bukan sahaja untuk kesihatan orang lain malah pada diri kita sendiri. Kesedaran terletak kepada diri kita sendiri jika kita rasa susah menerajui maka semuanya akan jadi  susah. Kita harus sentiasa positif dalam segala hal”,katanya.

CIPTA KERJAYA DIBIDANG FOTOGRAFI – ed remaja berbakat besar sedia hadapi cabaran

ROSLI MANSOR AHMAD RAZALI
“Setiap detik adalah memori dan ianya perlu hidup selamanya” ... begitulah ungkapan Mohammad Shahir Noor Din seorang remaja yang berbakat besar dan optimistik dalam mengejar impiannya untuk berjaya dalam bidang seni photografi seterusnya  meletakkan dirinya setanding dengan ikon jurufoto profesional.
Walaupun usianya  baru mencecah dua puluhan, kredibiliti dan bakatnya sebagai seorang  jurufoto kian menyerlah apabila melihat hasil kerjanya di lokasi pengambaran semakin diperakui ramai. Seolah-olah sentuhan  lensa kameranya setanding dengan sentuhan jurufoto  profesional  luar negara  John Macnally  yang menjadi idolanya dalam dunia fotografi.
Ed, melihat masa depan dalam dunia fotografi begitu cerah, berbekalkan kemahiran dan pengalaman pasti memberi kepuasan kepada semua

Mohammad Shahir  begitu mesra dengan panggilan Ed seorang pelajar semester akhir  Kolej Poly-Tech Mara cawangan Ipoh, Perak (KTPM) dalam jurusan Multimedia.
Setiap hasil karya kreativiti seninya  tercatat ‘Edphotography’  merupakan sebuah nama yang semakin mendapat tempat untuk jemputan  majlis-majlis formal dan individu di sekitar Perak.
Ikuti temubual khas bersama remaja betubuh kecil yang berkarisma tinggi dalam menentukan kerjaya dan hala tujunya dalam bidang seni  fotografi.
SH- Kenapa Ed begitu memilih bidang fotografi ini. Bagaimana minat ini timbul?
ED- Sebelum saya melanjutkan pelajaran saya di KPTM, minat terhadap seni photografi  bermula setelah saya dihadiahkan oleh bapa saya dengan sebuah kamera compax. Saya rasa satu kepuasan yang tidak dapat digambarkan apabila saya melihat orang disekeliling saya gembira dengan gambar-gambar yang saya rakamkan.
SH- Kenapa Ed memilih bidang Multimedia.
ED- Saya sentiasa melihat perkembangan teknologi  selaras dengan arus globalisasi masa kini, keseluruhannya dipengaruhi dalam bidang Teknologi Multimedia.  Bidang ini memberi imbalan yang besar dan menjanjikan  satu kerjaya yang profesional.

SH- Ed telah mengetahui kecenderungan Ed dibidang fotografi. Apakah Ed bersedia bersaing dengan juruphoto profesional  diluar sana.
Ed- Alhamdulillah saya telah bertemu bidang saya kerana minat yang mendalam. Saya sentiasa bersedia dalam apa juga keadaan untuk bersaing dengan jurufoto diluar sana dan terus menajamkan kemahiran saya dengan  membuat rujukan dan berkongsi ideal dari senior-senior yang ada, mereka banyak memberi pendedahan dan membantu saya.
SH- Apakah jenis camera yang digunakan dilokasi pengambaran.
Ed- Saya menggunakan beberapa buah camera Digital SLR iaitu Nikon D60, D90, D200 dan Canon 5D. Buat masa ini alhamdulillah hasil kerja saya memberi kepuasan kepada semua.
SH- Setakat ini apa pengalaman Ed dalam bidang ini?
Ed- Saya menerima tempahan sebagai jurufoto untuk sesi indoor dan outdoor modeling,  porfolio testimoni syarikat, pengiklanan dan majlis perkhawinan.  Saya juga sering berkumpul sesama jurufoto tempatan untuk mengadakan sessi latihan dan dari situ pengalaman saya bertambah.
SH- Apakah keistimewaan hasil sentuhan kreativiti Ed dalam menghasilkan gambar yang terbaik jika dibanding dengan hasil kerja jurufoto yang lain?
Ed- Setakat ini semua yang memberi kepercayaan kepada saya, mereka begitu berpuashati dan gembira kerana saya mengekalkan keaslian warna-warna imej  tanpa memanipulasikannya secara berlebihan melalui perisian photoshop. Saya sentiasa memastikan kepuasan pada diri saya dengan hasil yang terbaik dahulu sebelum diserahkan kepada mereka. Itulah keistimewaan saya.

 SH- Apakah impian Ed dalam bidang ini selepas pengajian tidak lama lagi?
Ed- Ed telah memantapkan minda Ed untuk bersedia bersaing dengan dunia luar. Tiada apa yang mustahil jika kita mahu berjaya. Ed mahu satu hari nanti Ed mampu melangkah jauh dan meletak diri Ed setanding dengan jurufoto profesional. Ed mahu  merialisasikan “edphotography “ sebagai satu syarikat  sendiri yang terkenal dengan mempunyai peralatan dan studio yang  canggih. Insya-Allah.
SH- Apakah Ed bersedia sepenuhnya menerima undangan di majlis yang besar?
Ed- Jika Ed diberi kepercayaan, insya-Allah tidak akan mengeciwakan. Lawatilah laman blog http://edbudakkechik.blogspot.com/ untuk melihat lebih dekat hasil kerja saya. Berkongsilah detik indah bersama saya 019 4549 650 atau 017 5448 466. Walaupun saya masih baru dibidang ini tetapi pastinya yang terbaik untuk semua.